Saturday, October 17, 2009

YA ALLAH, SELAMATKAN SEKOLAHKU!

Assalamu’alaikum w.b.t,

Segala puji bagi Allah Tuhan Sekalian Alam,
selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w., juga buat keluarga, dan para sahabat baginda.

Sedang saya mencari maklumat mengenai sekolah lama saya pada beberapa bulan yang lepas, secara kebetulan saya terbuka laman PAS Negeri Johor mengenai sekolah-sekolah agama rakyat di Johor yang sekarang ini lebih dikenali sebagai 'sekolah menengah agama'. Alangkah terkejutnya saya apabila terbaca artikel yang bertajuk "Wajarkah Sekolah Menengah Agama Negeri Johor Diserahkan Kepada Kementerian". Ini adalah kerana sekolah lama saya, Sekolah Menengah Agama Al-Khairiah Segamat (SMAKS), tempat saya menimba ilmu agama dan bahasa arab, juga tempat saya mendapat tarbiah islamiah daripada Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5, adalah merupakan salah sebuah sekolah agama rakyat di bawah kerajaan negeri. Semasa menuntut di sekolah kesayangan tersebut, pernah juga kedengaran war-war yang mengatakan bahawa kementerian hendak mengambil sekolah kami untuk dijadikan sekolah agama bantuan kerajaan. Namun alhamdulillah, pengetua kami, al-Fadhil al-Ustaz Mohamad bin Ibrahim bertegas untuk tidak menyerahkan sekolah kami kepada kementerian! Biarlah kami belajar dalam keadaan serba kekurangan tanpa kemudahan yang lengkap di sekolah yang kecil, biarlah sekolah kami selalu dilepas pandang oleh Pejabat Pendidikan Daerah Segamat, biarlah sekolah kami tidak terkenal seperti sekolah-sekolah menengah lain di Segamat, namun untuk menggadaikan silibus Azhar yang telah wujud sejak sekian lama di sekolah kami, tidak sekali-kali kami merelakan!! Sebelum saya mengulas lebih panjang, sila baca artikel tersebut yang bertarikh 12 Januari 2009.

* * *

Wajarkah Sekolah Menengah Agama Negeri Johor Diserahkan Kepada Kementerian?




Monday, 12 January 2009 23:05

12 Jan - Dunia pendidikan di negara kita sering kali dilanda dengan pelbagai ‘bencana’ yang sering kali ‘dicipta’ oleh pemimpin-pemimpin negara yang berfikiran dangkal yang sentiasa membuat keputusan secara melulu tanpa mengambil kira pandangan dan membuat kaji selidik yang terperinci terlebih dahulu. Belumpun reda dengan isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang begitu hebat mendapat tentangan dan bantahan daripada Badan-badan Bukan Kerajaan (NGOs), dan parti-parti politik, sekali lagi isu pengambil-alihan sekolah menengah agama negeri oleh kerajaan persekutuan mula ‘membadai’ di negeri selatan tanah air.



Timbalan PesuruhJaya Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Negeri Johor, Ustaz Atan Gombang (gambar) telah dihubungi bagi merungkai segala persoalan dan kekeliruan yang timbul dikalangan masyarakat khususnya rakyat negeri Johor berkenaan dengan hasrat Kerajaan Persekutuan untuk mengambil-alih sekolah-sekolah menengah agama negeri Johor dan diletakkan dibawah Kementerian Pendidikan. Sebagai Pengerusi Jawatankuasa berkenaan dengan isu ini, beliau telah dilihat sebagai orang yang paling layak untuk mengulas isu ini secara lebih mendalam dan teliti. Persoalan yang timbul adalah mengapa pihak kementerian bersungguh-sungguh untuk mengambil alih sekolah-sekolah menengah agama dalam negeri Johor dan mengapa pula ada pihak terutamanya PAS turut bersungguh-sungguh membantah hasrat berkenaan? Adakah PAS itu pembangkang maka sifatnya selalu membangkang kerajaan ataupun ada sesuatu yang tidak dapat ‘dihidu’ secara langsung oleh rakyat negeri Johor khususnya, sehinggakan mereka masih lagi membisu mengenai isu ini?.

“Secara muqaddimahnya, kita terlebih dahulu perlu faham apa yang tersurat mahupun tersirat disebalik kewujudan Sekolah-sekolah Menengah Agama (Arab) dalam negeri Johor. Bilangannya setakat ini adalah sebanyak 22 buah yang mana dahulunya sekolah-sekolah menengah agama ini lebih dikenali sebagai Sekolah Arab Negeri Johor atau Sekolah Agama Rakyat (SAR) dimana sekolah-sekolah ini menjalankan sistem peperiksaan ‘idadi, ibdaei dan juga sanawi. Para pelajarnya perlu belajar sekitar 8 tahun sebelum layak untuk memasuki Universiti Al-Azhar, Mesir. Namun, sewaktu zaman pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamed, sistem tadi telah pun diubah dan dikuatkuasakan pula Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) untuk diduduki oleh pelajar-pelajar di sekolah menengah agama.

Apa yang mengecewakan pada hari ini ialah pihak kerajaan negeri Johor sendiri hendak menyerahkan kesemua sekolah menengah agama negeri Johor ini kepada Kementerian. Tidak nafikan bahawa sekolah yang akan diserahkan akan mendapat layanan dan kemudahan yang amat istimewa daripada kementeriaan terutamanya kemudahan-kemudahan asas serta tangga gaji guru mengajar yang jauh lebih tinggi jika dibandingkan sewaktu dibawah kelolaan kerajaan negeri. Sungguhpun demikian, apa yang perlu dibimbangi ialah keterikatan sekolah-sekolah agama tadi dengan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) yang mengandungi beberapa peraturan yang wajib diikuti dan dilaksanakan apabila berlaku ‘peralihan kuasa’ kelak.

Sebagai contohnya, sekitar April 2005, 3 buah sekolah menengah agama di negeri Johor telah pun secara rasminya diserahkan kepada pihak Kementerian dan menjadi Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK). Sekolah-sekolah tersebut adalah SMA al-Quran Waddin Johor Bahru, SMA Al-Attas Ulu Tiram dan SMA An-Nur Benut. Seperti yang telah dimaklumkan, sekolah-sekolah ini akan menjadi seperti ‘anak emas’ kepada pihak kementerian berbanding sekolah-sekolah menengah agama lain dibawah jagaan kerajaan negeri. Tetapi apa yang dimusykilkan ialah proses penyerahan sekolah-sekolah berkenaan yang hanya menggunakan MoU sahaja dimana dalam MoU tersebut dinyatakan pada Bahagian 3 di bawah perkara Kurikulum dan Ko-Kurikulum, 3.1 “sekolah agama ini hendaklah melaksanakan kurikulum kebangsaan sebagaimana yang diperuntukan dalam Akta Pendidikan 1996”, 3.2 “sekolah agama ini juga boleh melaksanakan kurikulum pelajaran agama yang diluluskan oleh Majlis Raja-Raja”.

Skop perjanjian itu adalah terlalu umum terutama pada Bahagian 3, perkara 3.2. Apakah yang dimaksudkan dengan kurikulum pelajaran agama yang diluluskan oleh Majlis Raja-raja? Adalah ianya silibus matapelajaran Al-Azhar ataupun sebaliknya? Menurut pengetua sekolah-sekolah menengah agama tadi, yang dimaksudkan itu adalah silibus Al-Azhar. Apabila terus diselidiki, memang benarlah silibus Al-Azhar ada dilaksanakan di sekolah-sekolah berkenaan namun ianya hanyalah sebagai matapelajaran sampingan sahaja dan bukannya matapelajaran yang diutamakan. Inilah yang dibimbangi dan dibantah oleh PAS!

Bayangkan ada 13 matapelajaran Al-Azhar yang perlu diajar diantara pukul 2.30ptg hingga 5.15ptg. Sudah tentu masa tersebut tidak mencukupi walaupun masa sebelah malam juga digunakan sebagai waktu mengajar. Ini menyebabkan pelajar-pelajar menjadi semakin tidak serius untuk mengambil kesemua mata pelajaran tadi. Lama-kelamaan ianya akan terhakis sedikit demi sedikit sebagaimana yang nasib yang telah dialami oleh tulisan jawi yang mula dihapuskan penggunaannya di sekolah-sekolah sewaktu Khir Johari menjadi menteri pelajaran dahulu. Sampai sekarang tulisan jawi tersebut terus ‘tenggelam’ walaupun ada pihak yang menimbulkannya kembali. Sebab itulah ada pengetua-pengetua sekolah menengah agama yang telah ditemui menyatakan rasa tidak setuju mereka untuk diserahkan sekolah-sekolah tersebut kepada kementerian.

Dipihak PAS pula, apa yang sedang diperjuangkan adalah untuk memastikan agar silibus Al-Azhar ini bukan hanya dimeterai di dalam MoU sahaja, bahkan ianya perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan bukan sebagai matapelajaran sampingan di sekolah menengah agama. PAS juga cuba mengusahakan agar silibus Al-Azhar tadi diaktakan dibawah Akta Pendidikan 1996. Maka, isi perjanjian MoU tadi bolehlah dinyatakan, “sekolah agama ini (yakni SABK) hendaklah melaksanakan kurikulum Al-Azhar sebagaimana yang ditetapkan dibawah Akta Pendidikan 1996 Pindaan 2009”, misalnya. Ini bermaksud, perkataan “boleh” dalam MoU perkara 3.2 tadi digantikan dengan perjanjian yang lebih konkrit yang boleh menjamin kesinambungan pengajaran silibus Al-Azhar di sekolah-sekolah menengah agama negeri Johor.

Janganlah nasib sekolah-sekolah menengah agama negeri Johor yang lain mengikuti jejak Maahad Muar yang sekarang ini lebih dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Agama. Dulunya sekolah ini menjalankan sepenuhnya silibus Al-Azhar, namun setelah diserahkan kepada kementerian, sekarang ini sekolah tersebut hanya mengajar Arab Komunikasi satu matapelajaran sahaja kepada pelajar-pelajarnya.

Dato’ Mahfudz, PesuruhJaya PAS Negeri Johor dalam ceramahnya pada 10 Januari lalu juga turut mengulas berkenaan isu ini. Beliau menyatakan bahawa, kes yang sedang membelenggu sekolah-sekolah menengah agama negeri Johor ini adalah berbeza dengan kes 22 buah Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang didaftar dengan kementerian oleh kerajaan negeri Kelantan pada tahun lepas. Ini kerana sekolah-sekolah tersebut hanya “didaftarkan” sahaja dan ini berbeza dengan menyerahkan kepada kementerian. Lagipun, mengapakah pihak kementerian dilihat begitu ghairah untuk mengambil-alih sekolah-sekolah aliran agama disetiap negeri?. Sekiranya kementerian memberikan alasan bahawa mereka bertindak sedemikian adalah untuk menjaga kebajikan pelajar dan guru serta menaik taraf kemudahan-kemudahan asas di sekolah-sekolah agama melalui bantuan perkapita, mengapa pula ianya perlu didaftarkan? Ironinya, orang yang ikhlas untuk memberi bantuan tidak akan membuat sebarang ikatan perjanjian dan bantuan tetap akan diberikan walaupun tiada balasan diperoleh.

Barangkali kerajaan negeri Johor perlu mengikuti jejak langkah kerajaan negeri Kelantan yang hanya mendaftarkan sebahagian sahaja SAR dibawah Kementerian (22buah daripada 66buah), itupun sekolah-sekolah tersebut adalah dibawah kategori ‘bermasalah’ iaitu memerlukan bantuan. Mungkin Tok Guru Nik Aziz hendak menguji keikhlasan Kementerian maka hanya sebahagian sahaja didaftarkan dan jika benar niat kementerian itu khu’dus, maka dalam jangka masa 2-3 tahun lagi, sekolah-sekolah yang diserahkan tadi secara logiknya akan dapat menyaingi kehebatan MRSM, SBP atau paling kurang pun setaraf dengan sekolah harian biasa dari segi kemudahan asas dan kebajikan guru dan pelajar. Sekiranya perkara tersebut terjadi, maka wajarlah kesemua sekolah menengah agama itu boleh diserahkan kepada kementerian.

PAS sekarang sedang mengorak langkah untuk memberi penerangan kepada rakyat negeri Johor mengenai isu yang sedang melanda sekolah menengah agama ini melalui seberapa banyak ceramah dan seminar-seminar yang sedang diatur. Mereka perlu sedar bahawa isu ini bukan masalah PAS, ianya juga bukan masalah mana-mana pertubuhan parti politik tetapi ianya adalah masalah rakyat negeri Johor sendiri. Rakyat Johor perlu bangkit untuk mempertahan kesinambungan sistem pendidikan islam yang telah diwarisi sekian lama"…Wallahu’alam.

Antara Sekolah-sekolah Menengah Agama yang terlibat:

Sekolah Menengah Tarbiah Batu Pahat

Sekolah Menengah Agama Parit Sulong

SMA Lughatil Arabiah Tangkak

SMA Khairiah Segamat

SMA Al- Khairiah Al-Islamiah Mersing

SMA Bandar tenggara

SMA Kota Tinggi

SMA Lughatul Quran Muar

SMA Darul Ulum Muar

SMA Tanwiriah Parit Jawa, Muar

SMA Parit Subari

SMA Jawahir Al-Ulum Senggarang

SMA Parit Raja

SMA Bugisiah Tampok Pontian

SMA ‘Arabiah Kluang

SMA Kerajaan Johor

Maahad Pontian

Maahad Johor

SMA Al-Quran Waddin Johor Bahru

SMA Al-Attas Ulu Tiram

SMA An-Nur Benut

Sumber : http://johor.pas.org.my/

* * *
Ya, saya tidak nafikan yang sekolah-sekolah agama bantuan kerajaan yang dinyatakan di atas, yang sebelum ini juga merupakan sekolah agama rakyat seperti sekolah lama saya, mendapat pelbagai keistimewaan dari segi kemudahan, tetapi mengapa mesti dihilangkan silibus al-Azhar yang sudah sedia ada?? Adakah kerana takut pelajar tidak dapat membawa subjek-subjek akademik dan agama pada masa yang sama?? Kalau mereka tidak mampu mereka tidak akan memilih sekolah-sekolah tersebut sebaliknya lebih baik masuk sekolah menengah agama kerajaan (SMKA) yang cuma ada Bahasa Arab Komunikasi sahaja. Adakah kerana pencapaian akademik pelajar di sekolah agama rakyat tidak mencapai tahap yang membanggakan?? Inilah jawapan yang amat tidak relevan. Kalau begitu, tiada di kalangan mereka yang mampu melanjutkan pelajaran di universiti-universiti tempatan dalam pelbagai bidang bukan sahaja bidang agama, apalagi di universiti timur tengah.

Selain daripada itu, ingin saya menyentuh mengenai silibus di sekolah-sekolah agama sesi pagi atau petang di Johor yang lebih dikenali sebagai 'sekolah petang' di kalangan rakyat Johor. Alhamdulillah, semasa zaman saya dahulu, sempat saya mengikuti pendidikan agama di sekolah petang daripada Darjah 1 sehingga Darjah Khas. Subjek-subjek agama yang diajar juga amat lengkap dan mendalam, antaranya Faraidh, Ibadat, Jenayat, Munakahat, Mu'amalat dan sebagainya yang tidak diajar secara terperinci di negeri-negeri lain. Dan saya berjaya menamatkan Darjah Khas semasa di Tingkatan 4 kerana mendudukinya selama dua tahun. Malangnya sejak beberapa tahun lepas, silibus agama tersebut telah dikurangkan dan disingkatkan tempoh pengajiannya. Beberapa subjek berat seperti Jenayat, Mu'amalat dan sebagainya (saya tidak ingat) digabungkan menjadi Ibadat 1 dan beberapa subjek lain digabungkan menjadi Ibadat 2. Malah, seawal Tingkatan 1 pada usia yang tidak matang dan tidak mampu menghayati pelajaran agama yang tinggi dengan baik, para pelajar boleh menamatkan sekolah agama petang mereka dan seterusnya menyimpan terus kitab-kitab mereka ataupun mewariskannya kepada adik-adik atau jiran mereka. Yela, peperiksaan Darjah Khas bukannya penting dan perlu ditakutkan sangat macam peperiksaan PMR dan SPM.....(mentaliti pelajar yang mengejar sijil semata-mata). Dan lebih malang lagi bagi pelajar sekolah menengah biasa, kerana pada tahun-tahun mendatang, mereka akan hidup tanpa atau sedikit pedoman agama setelah habis sekolah agama petang pada usia yang masih mentah. Yela, subjek Pendidikan Islam (PI) kat sekolah menengah cuma dipelajari sebab nak periksa je....Alangkah malangnya adik-adikku...

Inilah apa yang terbuku di hati saya selama ini. Ke manakah perlu saya adukan perkara ini?? Jabatan Agama Johor @ Majlis Agama Negeri Johor (MAIJ)?? Hurm, apalah daya mereka kerana mereka adalah di bawah pemerintahan kerajaan negeri yang terkenal sebagai lubuk BN.. Wallahu ta'ala a'lam.

Ya Allah, selamatkanlah sekolah lamaku dan sekolah-sekolah agama lain daripada tangan 'mereka' yang cuba untuk memadam dan melenyapkan pendidikan agama-Mu di negeriku Johor khususnya dan negaraku Malaysia umumnya...
~ameen~

قال الله تعالى فى كتابه العزيز : ومكروا ومكر الله والله خير الماكرين



2 comments:

ishaQ said...

Isy3..dahsyat klau silibus azhar dimansuhkan or djadikan watak sampingan. Siapakah gerangan tangan 'mereka' i2?

syaraf_2008 said...

asalam alaiki warahamatuLLAHI wabarakatuhu
sy semangat dgn awk ini,sabab awak suka bahasa arab +biografi awak juga bagus .subhanLLAHi.saya doa kat awak semoga dimudamudahan,saya rasa awak ini insyaLLAHU jedi orang tinggi +muliya di duniya ini sama2 di akhirat insyaLLAHu smg diberikan awk istiqomat +kesabaran+keikhlason+kami smua.amin
ini dari alfqiiru ILALLAHI
syarafdin
student at facurlity of arabic and islamic studies depatement of arabic and arts
specialist for reothoric of al-quran